Thursday, June 3, 2010

Tanggungjawab Ibu Bapa

sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Apabila telah meninggal manusia putuslah amalnya, kecuali dari tiga perkara:sedekah jariah (umpamanya membuat masjid) atau ilmu yang memberi manfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya."
(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh.

Andainya ibu bapa mewujudkan satu suasana yang bercorak kebaratan dalam rumah, iaitu bukan secara Islam maka ini akan membuatkan anak-anaknya berlagak seperti orang-orang Barat. Tidak ada langsung menunjukkan ciri-ciri orang Islam dari segi pertuturan, pemikiran dan tingkah lakunya.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Didiklah anak-anakmu atas tiga perkara:

1. Mencintai Nabinya
2. Mencintai ahli rumahnya
3. membaca al-Quran, kerana si penghafal al-Quran, di dalam naungan Allah pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya beserta Nabi-nabinya dan orang-orang suci-Nya."

(Hadis riwayat Dailami)

Hadis ini menegaskan bahawasanya ibu bapa wajib mendidik anaknya supaya pandai membaca dan memahami al-Quran. Sebab kita membaca sesuatu adalah untuk kefahaman. Kita mesti faham apa yang dibacakan, jika tidak sia-sia sahaja dan ini adalah satu kerugian besar bagi diri sendiri.

Dengan erti kata lain ibu bapa Muslim wajib memainkan peranan untuk membesarkan anak-anak mereka agar menjadi insan Islam yang sebenarnya yang mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah Nabi-Nya.

Anak-anak perempuan mesti dididik untuk mencerminkan Islam lebih-lebih lagi dalam hal pakaian, supaya menutup aurat agar apabila besar nanti tidak akan memakai pakaian yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Anak-anak lelaki perlu dikawal supaya apabila besar nanti mereka tidak berpakaian tidak sempurna serta terlibat dengan najis dadah. Ibu bapa perlu menekankan kepada disiplin dan menggunakan psikologi yang bijak.

Yang penting dalam pendidikan anak-anak ialah untuk menanamkan keperibadian Islam yang murni dalam jiwa mereka. Kita berharap dengan benteng ini, apabila mereka besar kelak dapat menolak gejala-gejala yang bercanggah dengan agama Islam.

Dari sudut Islam penekanan amat penting diberikan kepada:

* Ilmu-ilmu yang diberikan
* Asas pelajaran yang diberikan
* Pendidikan jasmani yang diberikan
* memberi makanan dan minuman yang halal
* Mencari jodoh untuk anak-anak apabila tiba waktunya

Diharap dengan terbinanya institusi keluarga Islam, ianya dapat memberikan sumber kekuatan untuk memantapkan satu masyarakat Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Ini dikira dapat menyumbangkan satu kekuatan ke arah pembangunan negara Islam serta mendapat penghormatan daripada bangsa dan negara lain. Lebih-lebih lagi masyarakat kita terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak secara positif, khususnya dalam pembentukan peribadi dengan sifat-sifat berikut:

* Keyakinan penuh pada diri sendiri
* Memuliakan diri sendiri sebagai hamba Allah
* Menjaga nilai harga diri
* Bersifat benar dalam segala hal
* Berani menghadapi dugaan dan cabaran
* Selalu bersifat tenang

Jangan sekali-kali ibu bapa memperkecilkan kecepatan kedewasaan anak-anak. Masa dan peluang perlu diberikan kepada anak-anak untuk maju. Mereka amat memerlukan bimbingan yang positif dan didikan yang sempurna dari ibu bapa.
Posted by Hawa' at 10:02 AM
Labels: pendidikan anak-anak

No comments:

Post a Comment